Assalamualaikum w.b.t.
Modul Algebra Jangan Gabra (AJG) merupakan
modul konsep asas algebra yang dibangunkan berdasarkan DSKP Matematik. Modul ini merupakan satu
inovasi untuk membantu murid menguasai Konsep Asas Algebra
secara kendiri. Modul ini juga mempunyai dua versi; bercetak dan digital yang
mana selaras dengan perkembangan pendidikan di Malaysia kini. 13 orang guru
dari 13 buah sekolah di seluruh Malaysia telah bergabung tenaga dan idea selama
4 bulan untuk menghasilkan modul ini. Saya juga merupakan salah seorang guru yang terlibat dalam pembikinan modul ini 😉 Sepanjang tempoh tersebut, kami
menjenamakan kumpulan ini sebagai pasukan Super Math Squad.
Algebra merupakan bidang yang sangat
penting dalam Matematik. Asasnya perlu mantap dan kukuh sebelum murid masuk ke peringkat
menengah atas. Cabaran mengajar tajuk Algebra dirasai oleh kebanyakan guru
Matematik. Maka, modul ini dibina dengan harapan dapat memudahkan para guru untuk
membantu murid meningkatkan kemahiran algebra. AJG mempunyai 16 sesi yang
dijalankan secara ‘Live Streaming Youtube’ dengan durasi sejam setiap siaran.
Pelbagai teknik kreatif dan aplikasi digital digunakan untuk menarik minat murid-murid.
Perkongsian latihan dan maklumat lain berkaitan Modul AJG Digital juga boleh diperoleh melalui Google Site bit.ly/SMSAYU. Oleh itu, modul ini diharapkan dapat membantu guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan keyakinan murid dalam menjawab soalan Algebra.Hubungi saya atau komen di bawah untuk dapatkan Modul AJG versi bercetak.